Saturday 28 December 2013

pradurja, ii

Oksigen yang dia dapatkan, dari susah payahnya tadi, juga telah membantu satu hal dalam merangsang memorinya: dia tak bungkus makanan, kering atau basah, dari luar, semasa dalam perjalanan balik ke rumah. Ini walaupun suatu kebaikan, masih lagi tak menyumbang apa-apa untuk menyelesaikan kekeliruannya. Ia malah makin berbelit. Tapi, di posisi baring begini, menatap siling putih, dan mengira satu-satu bilah kipas yang berlari dari titik mula dan akhir yang dia ciptakan, semacam memberi dia idea. 

Penyelesaian. Entah kenapa, tapi penyelesaian ini sebenarnya dah jelas-jelas depan mata, kesulitan ini tak patut muncul pun dari tadi. Mungkin dia penat. Mungkin otaknya belum dibelai sepenuhnya oleh sel-sel darah yang dipam oleh udara di jantungnya, untuk dia menyedari bahawa penyelesaiannya mudah - dia patut ke dapur. 

Dia sekarang berada di ruang tamu. Rumahnya, tak besar. Ada dua bilik - dan dua-dua hanya berfungsi sebagai stor. Dia tak suka berkurung di dalam bilik, bukan klaustrofobik, dia hanya tak suka. Biliknya berbaris sebelah menyebelah. Di seberang bilik terakhir, menghadap ke arahnya sekarang, adalah ruang untuk kamar mandi dan jamban. Terselit di tengah-tengah adalah dapur. Tidak seperti ruang-ruang lain di dalam rumahnya, dapur itu tak boleh dilihat langsung dari mana dia berada sekarang.

Tak ada pilihan melainkan tinjau dapur. Dan itulah yang dia hendak lakukan sekarang. Tapi ianya tak mudah. Tubuhnya tengah balas dendam kerana didera selama dua hari sebelum ini. Tadi, semasa cuba bangun pun, kakinya tak boleh bergerak. Tapi sebab terpaksa, dia paksa juga. Untuk pujukan dia bisik pelan-pelan, supanya tubuhnya bertahan. Setiap langkahnya, rasa macam tengah pijak bara. Dari kaki, menjalar ke bahu - semuanya kesakitan. Mujur jarak untuk ke dapur tak jauh.

Bauan itu menusuk lagi. Dia sedang berada di depan meja makan. Ada kuali kosong, namun berasap, di atas gas. Di kepala meja makan, ada semangkok nasi goreng. Asapnya berkepul-kepul. Ada pinggan diletak di tepi mangkok itu. Dan juga set garfu dan sudu. 

Dia sedar satu hal lagi kali ini. Bau itu, tak menyempitkan rongga pernafasannya, secara literal. Bau itu, enak - mustahil dia sesak nafas kerana itu. Bauan itu menusuk keras ke rongga nafasnya - dan ia bertemu suatu jalan yang sudah dia tutup sekian lama. Nasi goreng ini, dia tahu, proses masaknya ringkas, masih macam nasi goreng lain. Tapi teksturnya, dan warnanya, menyesakkan memorinya. 

Dia sesak nafas, kerana bauan itu telah mengingatkan dia tentang sesuatu yang telah lama dia lupakan. Memorinya sendat, dan ia tak ada jalan lain untuk beritahu, melainkan menjerut dadanya yang sedang tidur lena. Dia macam nak menangis sekarang. Akibatnya, kakinya pun dah mula lawan tuan. Kesakitan tadi mula menjerit-jerit meminta belas. Dia tarik kerusi di hadapannya, dan duduk.

Matanya dah mula panas. Dadanya seperti kembali sendat. Nafasnya mula tak keruan seperti ketika dia bangkit mengejut tadi. Kemudian dia cuba kawal fikirannya untuk fokus. Pelan-pelan, dia berjaya. Sekarang yang paling penting, dia perlu cari siapa dia yang masak nasi goreng ini. Tapi, seperti kebanyakan soalan-soalannya dari tadi, ianya tak ada jawapan. Di ruang dapur, hanya ada dia seorang. Tak ada orang lain. Ruang-ruang lain memang tak berisi. Dia jumpa jalan buntu.

Kemudian, dia ulang kembali tindakan bodohnya tadi. Ya, dia memang tak bermimpi. Tapi kesulitan baru muncul. Dan kali ini ia tak datang satu-satu, ia memilih untuk menyerbu dalam gerombolan. Ketika dia berfikir, bahawa kesulitan ini tak akan makin bernanah, ia dengar air dipam di jamban. Lalu engsel pintu untuk ruang kamar mandi, dan tandasnya, melepaskan jeritnya yang menjengkelkan.

Kepalanya ditoleh. Dadanya berdebar. Ia sedar, ada orang sedang membuka pintu ruangan itu. Ia tak meneka-neka siapa gerangan orangnya, kerana tak ada seorang pun mengisi ruang kepalanya, kecuali penjahat, kerana selama dia tinggal di sini, dia tinggal sendirian.

1 comment:

Anonymous said...

er. hantu ke.