Saturday, 28 December 2013

pradurja, iii

Yang terdedah duluan adalah kakinya. Ia separuh telanjang. Separuhnya lagi dilitup oleh kain. Ia teralun mengikut langkahnya. Dan ia makin ke depan. Pelan-pelan, seluruh jasad orang itu terdedah di hadapannya. Ia seorang perempuan. Rambutnya panjang, hampir-hampir mencecah pinggangnya, hitamnya berkilat. Ia terpegun di situ. Mereka berdua, yang sedang berada di ruang yang sama, sedang memandang masing-masing. Dan kaku di kedudukan mereka. Perempuan itu, yang canggung, cuba melepaskan senyum. Dia tak lepaskan emosi apa-apa di wajahnya. Stoic, dari bunyi air dipam tadi, sehingga sekarang.

Sedang fikirannya, berbelit dengan seribu macam kesulitan. Ia bercambah, masuk ke daerah-daerah yang tak dia sangka dia akan teroka. Dari hal-hal yang terjadi tadi, dari dia yang pengsan di luar rumah, dan bangkit di ruang tamu, dan dadanya yang dijerut bauan misteri, dan nasi goreng, dan memori, semuanya menyerang fikirannya. Semua menjadi pertanyaan-pertanyaan, yang timbul seperti buih di lautan. Dan tak satu pun berakhir dengan jawapan. Masing-masing malah saling bergelut antara satu sama lain. Dia tak perlu jadi bodoh untuk ketiga kalinya untuk sedar bahawa dia sedang memijak realiti. Tak ada mimpi yang parah begini. 

Tapi tak satu pun pertanyaan-pertanyaan itu muncul di bibirnya. Semua dia kemam di kepala. Lalu mengabaikan kesakitan dan lapar yang tiba-tiba, dia meluru keluar dari dapur, meninggalkan perempuan itu di dapur, sendirian. Lantaklah, tekadnya. Berlama-lama di ruangan itu, boleh menjadikan dia gila.

Tapi masih, perjalanan ke katilnya, tidak mudah. Kepalanya diserang sakit mendadak. Langkahnya longlai. Kakinya sudah tak lagi berdaya. Terakhir yang dia ingat adalah, siling putih, dan bilah kipas yang berlari. Kemudian semuanya hitam. 

No comments: