Dia dikejutkan oleh bauan yang tiba-tiba menusuk rongga pernafasannya. Dia, secara literal, sedang sesak nafas oleh bauan itu. Seolah-olah rongga pernafasannya itu, dah tak cukup ruang untuk partikel-partikel udara selain oksigen, dan karbon dioksida, dan kotoran-kotoran lain. Seolah-olah rongga pernafasannya, sedang mengalami kesesakan trafik. Dan udara yang diperlukan untuk tubuhnya berfungsi, tanpa mengganggu tidurnya, tak sampai ke organ yang sepatutnya. Hasilnya, dia buru-buru bangkit dari tidur. Dan terus hela dan hembus nafasnya, macam baru saja tenggelam di bawah air selama 10 minit tanpa bantuan pernafasan apa pun.
Akibatnya, dia ambil masa untuk cerna apa yang dah jadi. Dia begitu, hela dan hembus nafasnya, selama lebih kurang 5 minit. Tanpa mempersoalkan apa-apa. Dia tak boleh. Udara tak sampai ke organ penting untuk pemikirannya berfungsi. Jadi, dia tak sedar, bahawasanya, dia dah pengsan selama lebih kurang 5 jam. Dan ketika dia pengsan, dia ada di luar rumahnya. Sedang bergelut, menentang tombol kunci, yang ketika itu, dalam pandangannya, seolah-oleh sedang bermain Police & Thief, dengan kuncinya. Dia tak tahu, itu adalah memori terakhirnya, sebelum dia jatuh pengsan, kepala duluan menyembam simen keras. Dia tak tahu, sebab dia sedang sibuk mengumpul udara masuk ke dalam dadanya. Supaya jantungnya berfungsi seperti sediakala.
Dia, boleh dikatakan, sedang menentang maut.
Bukannya dia tak pernah menentang maut. Hidupnya sendiri sebenarnya, menuntut dia untuk menentang maut, supaya boleh hidup sesuai dengan keinginannya. Tapi itu pun, hanya kadangkala, dan itu pun, dia boleh pilih sendiri, untuk teruskan, atau, macam dia selalu buat, patah balik, dan lupakan semuanya. Tapi kali ini, dia tak boleh. Dia kena melawan. Andai saja dia buat keputusan untuk berhenti, walaupun untuk sepuluh saat sahaja, dari apa yang dia buat sekarang, tak ada ketentuan bahawa dia takkan mati.
Ikut teori sains, ini flight or fight, tentang atau pulang. Ikut teori ketergesaan-masa-sekarang, ini situasi fight, atau tentang. Lawan.
Dan dia menang. Dia dah tak perlu nak hela hembus nafasnya bertalu-talu. Dia dah jumpa rentak yang bikin selesa. Jantungnya dah terima bekalan udara yang cukup. Sel-sel darah dah boleh disalurkan ke organ-organ penting untuk tubuhnya berfungsi, walaupun dia sedang lena.
Ada sel-sel darahnya, yang akan disalurkan ke otak. Tidak jelas, bahagian otak mana, yang akan buatkan dia sedar, bahawa dia penat. Tubuhnya penat, dan perlukan istirehat. Tidur, ketika ini, setelah perlawanan tadi, adalah penting. Tapi, yang turut sama tidak jelas, adalah bahagian otak yang mana, yang akan buatkan dia sedar, bahawa ada yang ganjil dengan perlawanan tadi. Dan bukan itu sahaja, bahagian otak yang sama juga, akan buatkan dia turut menyedari, bahawa ada anomali sedang berlaku, antara memori terakhirnya, dan di mana dia berada sekarang.
Dia sekarang ini sedang berada di atas kerusi empuknya. Kerusi ini, direka dengan dwi-fungsi, ia boleh dilipat vertikal untuk dijadikan kerusi, atau dilipat horizontal, untuk dijadikan katil. Ianya sekarang berfungsi sebagai katil. Dia sedar ini, ketika dia nak sambung tidur. Tapi ketika itu juga, memori terakhirnya datang. Ianya bagus, sebab itu bermaksud, tubuhnya sedang berfungsi dengan baik. Tapi, ianya juga membuatkan dia hairan, bagaimana dia boleh berpindah dari luar rumahnya, ke atas katil, di ruang tamu.
Persoalan ini, tak jumpa jawapan. Dan semakin berbelit, pabila bauan itu tak hilang-hilang. Ianya bukan mimpi ngeri. Ianya realiti. Dia rasa ini bodoh, tapi ditamparnya juga pipi. Dan dia rasa sedikit kebas, dan bodoh. Tapi dia tak boleh buat apa-apa untuk sahkan dia berada di kontinuum mimpi atau bukan. Kecuali dia bangkit tiba-tiba nanti. Jadi, untuk sekarang ini, berdasarkan kebas di pipinya, dia percaya, dia sekarang bukanlah sedang bermimpi.
No comments:
Post a Comment