Thursday 30 May 2013

10:15j

Kehadapan perempuan matari,

Apa khabar? 

Bacanya sedang dilanda bosan. Hingga mengidam kereta sebuah untuk dibawa jalan-jalan keluar dari sangkar. Kerap benar begini, kan? Dari tengahari santak ke malam, hujan melulu. Niat untuk bergembira mungkin tergendala, bukan saja sebab titis hujan bertindak seakan jeriji besi, tapi juga kerana emosi yang ia kirimkan pelan-pelan ke hati kita.

Harunya emosi itu sering bercelaru, ada gembira kerana kita memang pera'i hujan, namun juga gundah kerana kita jaraknya terlalu jauh. Pelan-pelan, hujan hembuskan ke bisik hati kita, kata-kata rindu yang terlalu yang tak sanggup kita empangkan lagi, walau sesaat lamanya.

Ya, ada telefon pintar, dan talian internet, boleh jadi medium perantara untuk kita lampiaskan isi hati, sepuasnya namun semua ini membikin privasi mati. Kata manja ditahan-tahan, kata rindu ditopeng-topeng, dan perasaan masih juga terpaksa kita empangkan.

Kita ingin saling bertentang mata. Ingin saling tenggelam dalam pandangan yang kita saja tahu nikmatnya. Ingin berkongsi cerita, ingin mendengar suara. Ingin melihat ketawa dan rajuk kita. Ingin saling bertaut tubuh berkongsi rasa yang tak dapat diterjemah lewat kata, ke hati masing-masing, dalam diam yang sunyinya kita raikan. 

Kita sebenarnya hanya mahu satu hal, berjumpa saling berdepan. 

Kan, sayang? 

Namun realiti kekadang cemburu. Apa yang kita inginkan itulah yang dia rampas. Dia humban ke dalam bilik yang kuncinya dia sembunyikan. Hanya diberi bila moodnya datang. Kita merayu bagaimana pun tak mungkin dipeduli. 

Maka ketika ini kita hanya mampu bersabar. Dan percaya bahawa masing-masing dalam hati, demi memujuk tuan-tuannya yang gundah, saat-saat kita berjumpa dan meraikan cinta kita sedang bermain semula tanpa ada satu pun cacat dan celanya.

Kerana kita ini, memang anak-anaknya Dewi Cinta.

2 comments:

dcharmed said...

:)

pemuzik jalanan said...

Bertuahnya perempuan matari.
Bertuah juga kamu punya dia.
Bertuahnya kalian dikurniakan cinta.