Aku sekarang tinggal di dua buah negeri yang terpisah
oleh lautan dalam masa setahun. Dalam masa setahun itu, aku terbang di awan
sebanyak dua kali. Pergi, dan balik. Atau, sebab aku ni anak jati salah satu
negeri, dan pemastautin di negeri yang lagi satu, boleh dikatakan aku ‘Pulang
dan Balik’. Lain terma, sama makna.
Selain daripada keadaan universiti aku sekarang, aku rasa
takde apa-apa yang aku benci pada negeri asal aku ini. Kecuali mungkin beberapa
manusianya yang dulu-penting-sekarang-tidak-penting. Tapi selain daripada dua
hal tersebut, oh-wait, termasuklah pentadbiran negeri juga sikap warga negeri
ini yang dibentuk oleh sistem pentadbiran negeri yang kontang jiwa, dan caca
marba, aku rasa negeri ini adalah bayang-bayang sorga.
Aku serius.
Bangun pagi, ketika hujan baru turun tadi malam santak ke
subuh, lalu keluar dari rumah dan dongak ke bukit-bukit yang mengelilingimu
(sebab di negeri ini bukit adalah elemen paling biasa sekaligus luar biasa yang
sering ada walau di mana kau buang pandang) dan saksikan bagaimana awan bersatu
bersama dada bukit, dan kabus, dan embun yang jatuh pada rumput yang semalam
kau lihat terlalu durja, hirup nafasmu dalam-dalam dan rasakan apa erti sebenar
udara sihat yang digembar-gembur kepada kau sejak kau kecil dulu, tutup matamu
yang sudah dijamu kesempurnaan – tajamkan deria dengarmu – dengarkan
kereta-kereta yang saling mengejar waktu melepasi jasadmu yang sedang kaku oleh
ketakjuban yang maha, dengarkan rintih pemandunya, dengarkan angin yang
menjerit di belakang tayar kereta yang meluru, dengarkan bagaimana apa yang kau
percaya selama ini barai oleh sebuah pagi. Jika kau memakai selipar maka
tanggalkan. Jika kau memakai kasut maka tanggalkan. Jinjit ia di kedua jemari
dominanmu, lalu berjalanlah, menarilah, di atas tar, tanah becak, rumput, dan
tanah liat yang kau elakkan selama ini, rasakan dalam-dalam bagaimana ianya
mendamaikan jiwamu yang resah oleh realiti yang mencengkam. Rasakan denyut
nadinya yang ingin diraikan oleh manusia. Rasakan kerinduannya pada kakimu yang
tua oleh waktu. Rasakan. Dan ingat ia dalam-dalam, dalam ingatanmu yang paling
rahsia.
Simpanlah. Lalu beritahukan hanya kepada yang peduli.
No comments:
Post a Comment