Dia kata, ada rama-rama berterbangan di dalam perutnya.
Kau tak tahu kenapa kau tak suka bentuk serta mood yang datang dari menyebut perkataan perut tu. Kau rasa macam nak tukarkan jadi abdomen. Tapi bila kata abdomen, yang kau bayangkan adalah benjolan-benjolan keras pada, perut.
Okay, kau redha dengan ketentuan sejarah untuk menjadikan perut, sebagai perut. Tidak ada lain. Jadi kau terus baca pesanan ringkasnya itu di skrin telefon genggam kau. Kau teruskan dan batalkan niat untuk lakukan aktiviti-aktiviti lain ketika ini.
Kemudian kau, atas alasan-alasan personal yang hanya kau dan dia saja ketahui, padam seluruh thread pesanan ringkas antara kau dan dia sepanjang hari ini.
Tapi masih, kata-katanya itu tak kunjung hilang dari dalam kepala. Dan kau masih rasakan, bagaikan ada rama-rama mengibas kepaknya di dalam perut kau. Senyum kau, tak hilang-hilang sampai sekarang.
No comments:
Post a Comment