Seorang lelaki tua, berkulit gelap, sedang tidak melitupi tubuhnya dari apa-apa, kecuali sehelai tuala yang sudah pun sobek di sana-sini. Di tangannya ada telefon genggam. Riak dari wajahnya menandakan kerisauan - suatu petanda ketidakpuasan hati. Punat telefon dipicit satu-satu. Lalu ditekap pada telinga. Rambut dikirai ke belakang. Lipat tuala dibetul-betulkan.
Kerusi kayu berkusyen langsung diduduki. Dari situ, tubuhnya cuba dijulur keluar ke arah pintu. Telefon masih di telinga. Tak ada sebutir kata tumpah dari bibirnya dari tadi.
Anak-anaknya hanya diam membatu. Memerhati dalam kaku. Ada yang cuba mendistraksikan situasi dengan mengocak telefon - bermain permainan video mudah alih. Yang lain baca buku atau berbual dalam bisik.
Sunyi diisi dengan bip telefon.
"Helo! Assalamualaikum!" Suara dari hujung talian bergema, segera lelaki itu menyambut. Teruja. "Mak, mak macam mana 'dik?"
Seminit lalu, ketika ada perjumpaan tidak rasmi keluarga, ketika lelaki tersebut hendak ke kamar mandi, ada kiriman pesanan ringkas masuk. Khabarnya ringkas ; Mak sakit. Tanpa apa-apa telefon genggam milik isterinya disambar, lalu ditelefon sang penghantar pesan.
"Mak okay sikit." Kata pemilik suara di hujung sana. "Tadi kata mak sakit? Sakit dia," ujar lelaki tersebut sembari meraup wajah dengan sebelah tangan, "datang lagi ke?"
Kau yang tadi baca buku, masih menatap aksara-aksara. Tapi seluruh deria kau tertumpu pada butir bicara antara bapa dan makcik di hujung sana. Jiwa kau resah. Duduk kau tenang, namun isi jiwa kau sedang bergelora.
Pengalaman kau dan nenek tak banyak. Berada di dua negara yang berbeza menyempitkan ruang untuk pengalaman itu dicipta. Namun ada perasaan empati lahir antara kau dan nenek, yang dicipta dari cerita-cerita bapa.
Nenek terpaksa menanggung isi rumah sedari usia bapa lima tahun, gara-gara datuk dipanggil tuhan terlalu awal. Selain bapa, makcik yang sedang melayan kerisauan bapa kau sekarang juga turut masuk dalam kerangka kesusahan baru tanpa datuk itu. Dari situlah, bapa menjadi seorang bapa tanpa menjadi seorang suami terlebih dahulu. Di situlah lahir kekerasan yang akhirnya memaksa kau untuk menjadi rimas dengan kehadiran seorang bapa.
Cerita tersebut diluah bapa ketika kau di puncak amarah gara-gara kekerasan bapa dalam mendidik keremajaan kau yang sedang amok. Kau layur mendengar cerita itu. Dan kau nampak terang gelapnya segala punca yang menjadikan lelaki di hadapan kau sekarang, sebagai bapa yang kolot cara didikannya.
"Dari tadi cuba hantar sms. Tapi tak dapat sebab line tak elok kat sini." Ujar makcik di dalam mod pembesar suara. "Mak start sakit semalam jadi hantar ke hospital. Masuk ICU, mak stroke lagi. Tapi pagi doktor kata mak dah lebih stabil. Cuma tubuh belah kanan mak tak berfungsi sangat sekarang, kesan stroke."
Bapa raup muka. Risaunya berganda lagi, bergelombang di wajahnya. Kau kekal tunduk. Adik-adik lain dah kaku sama. Tak ada mata yang berpaut sekarang. Mama tenangkan bapa. Dipeluknya bapa di pinggang. Dada kau berombak, tahan nafas. Ini kali ketiga nenek stroke. Mujur kesihatan datuk belah mak dah okay lepas dimasukkan ke hospital, dua bulan lalu. Jadi kerisauan tak datang menyerang bak kiamat.
Diam-diam, tuhan yang dah lama kau cari, muncul dalam bentuk doa paling spontan yang kau ucap dalam hati. "Tuhan, selamatkan keluargaku dari dengki penyakit."
Di hujung sana, makcik terus beri maklumat tentang kesihatan nenek. Seluruh isi rumah khusyuk mendengar, dan kau pasti berdoa sama. Amin kau laungkan dalam jiwa, untuk setiap doa yang tak terucap di bibir itu.
Amin.
No comments:
Post a Comment