Sunday 16 March 2014

disney fairy tale

dia datang ke konsert ini dengan niat untuk mati. 

dia tak peduli pasal tujuan konsert ini diadakan. kehilangan kapal terbang itu bukan urusan dia. ianya urusan orang lain. dan dia tak berminat nak ambil tahu. lantaklah kalau kesemua isi kapal meninggal sekalipun, dia takkan tiba-tiba dirudung duka. dia malah, mengingatkan kemungkinan tersebut, cenderung cemburu. dah lama dia mencari jalan untuk mati dengan dilimpahi perhatian.

dia sanggup tukarkan nyawanya yang tak ada makna, dengan perhatian. tak kiralah walau sekejap saja sekalipun. dia dah penat menanggung biawak hidup dalam kehidupannya. nyawanya ini bagi dia tak ada kegunaan untuk dia. hidupnya selama ini, selama dia memiliki kesedaran, hanyalah rutin. bila dia cairkan tubuhnya masuk ke dalam cermin, yang dia lihat tidak lain ada kekosongan yang tak bererti. dia tak jumpa poin untuk dia terus berjalan masuk ke dalam kekosongan itu, dan tiap-tiap hari, merenungnya di dalam cermin. 

dia rasakan dia adalah manifestasi kutukan tuhan. seperti babi. seperti gagak. seperti dosa. seperti iblis. dan dia lebih rendah dari semua itu. babi, gagak, dosa dan iblis, setidaknya hidup dengan perhatian. mata orang sekeliling, malah malaikat, malah tuhan sendiri, masih menyoroti mereka. sedangkan dia. dia adalah sesuatu yang tak dipeduli. dia adalah sesuatu yang ...

dia sedar sepenuhnya, seluruh pemikirannya (hatta yang selama ini masih ingin cuba positif memandang diri sendiri dan dunia) menerima bahawa dia, adalah sesuatu yang tak punya ertinya bagi dunia ini, dan lebih-lebih lagi, untuk dirinya sendiri. 

jadi dia datang ke konsert ini dengan niat untuk mati. dia ingin menawarkan tuhan sebuah urus niaga. dia tahu, tuhan tak punya kepentingan apa-apa dalam urus niaga ini. kehadirannya di alam metafizik, daerah jajahan tuhan yang belum disentuh, tidak akan memberi makna apa-apa. dia yakin, dia hanya akan menyeret kembali kehidupan lamanya masuk ke dalam alam itu, alam yang sudah tak punya dimensi. tapi setidaknya, dia ada bawa ole-oleh, yakni ingatan bahawa ketika dia mati, dunia memandangnya. ingatan ini akan selama-lamanya menjadi cahaya, menjadi cerita, menjadi senyum, menjadi makna kepada sisa-sisa kehidupannya.

dia masuk ke dalam stadium dengan harapan besar, agar tuhan akan menerima tawarannya.


No comments: