hari ini dalam jamban, berlaku pengalaman yang agak surreal pada saya.
tadi, bila meredah bangunan-bangunan lama di Kota Kinabalu untuk cari kedai makan kegemaran saya dan kekasih, saya terserempak dengan seorang rakan sekelas dari sekolah menengah. kami sekelas, di tingkatan dua dan tiga. tapi dalam dua tahun itu, rasanya kami berborak hanya dalam dua atau tiga kali. itu pun kalau keadaan betul-betul memaksa.
sekolah menengah saya, di pinggir kota JB (johor bahru). pengalaman sekolah menengah saya, sampailah sekolah tundaan/pra-universiti di sekolah yang sama. tapi dalam lapan tahun itu, jari di sebelah tangan kanan saya pun dah cukup untuk hitung habis berapa kawan saya.
kita bukan bercakap pasal kawan sekelas, atau kawan sebelah, atau kawan apa-apa. tapi kawan, yang kalau saya jumpa di tengah jalan, saya yang akan lebih dulu tegur dia, sebelum dia perasan kehadiran saya di tempat itu. kawan seperti itu, macam dah diujarkan tadi, tak ramai.
dan rakan sekelas saya itu, saya imbas sekali saja wajahnya. dan terus saya elakkan. kekasih di belakang, atau depan?, terkapai-kapai dengan tindakan saya. tapi dia tak tanya apa-apa. mungkin pengembaraan nak mencari kedai makan tersebut sangat peribadi buat dia. saya pun tak pasti. saya ada cuba beritahu dia, tapi dia tak faham. muka dia blur, dan hampir-hampir kacau bilau bila saya ulang kata-kata saya.
jadi saya utamakan pengembaraan cari kedai makan tersebut. kekasih saya tak reti jalan kat bahagian Kota yang ini. bila saya tunjukkan sisi Kota yang bangunan lama berceracak, dan diindahkan dengan tanglung bergentayangan antarbangunan, dia terkesima. kagum. dalam bas tadi, dia ada cakapkan tentang minatnya dengan bangunan lama. kiranya pengalaman tadi, ngamho-lah.
tapi ngam tak ngam, bila sisi Kota itu dah ditinggalkan, kedai makan tadi jadi keutamaan. perut dulu, lain-lain kemudian.
kedai makan tadi, tersorok di antara bangunan-bangunan lama. dan terhumban di barisan belakang kedai-kedai makan lain. saya jumpa kedai makan ini, dengan kawan-kawan, bila tersesat cari jalan keluar dari ceracak bangunan lama ini. kami makan nasi ayamnya. chefnya dari jawa. sedapnya, tak terkata.
usai saja makan, kami ke pinggir Kota pula. selesaikan rancangan yang dah dirangka semalam. kami layan filem Her. di dalam panggung, pengalaman menonton Kolumpo tak berulang. ada lagi 6 orang lain, kekasih kata 7, yang menemani kami. filemnya okay. kami enjoy. imej-imejnya menyeronokkan, dan visualnya menyenangkan.
walaupun filem tersebut kekok. saya keluar dengan senyum. nama protagonisnya, joaquin phoenix. saya teka nama yang uber-selamba itu, asalnya dari wilayah Nordic. lakonannya juga selamba. bagus punya mamat. harap boleh layan lagi filem-filem dia yang lain. seeloknya di pawagam.
di dalam panggung, saya minum coca-cola 32oz, teka saya. pundi kencing saya meronta-ronta nak diampunkan. jadi saya dan kekasih, yang didera oleh situasi yang sama, cari jamban. proses mengorek syiling untuk cukupkan bayaran dua orang, barai bila tak cukup sepuluh sen. jadi duit kertas seringgit dikorbankan. kami masuk jamban untuk jantina masing-masing. dalam jamban, ada saya seorang, dan makcik cleaner. lantai jamban basah. dan mujurlah wangi. mangkuk jamban juga bebas dari sebarang imej-imej memualkan.
tadi, bila saya tengah melepaskan sisa-sisa cecair di jamban, saya terpaksa sepanjang proses itu, memandang celah-celah penutup mangkuk jamban, yang dipenuhi kotoran kecoklatan, yang akhirnya berkat pengalaman, saya tafsirkan jadi sisa-sisa najis. ini memualkan saya. dan saya rasa marah dengan tafsiran saya. sebab saya tak boleh berhenti dari merenung imej itu, dan berfikir ulang-ulang tentang tafsiran saya. seranah saya lepaskan tanpa henti sepanjang proses itu. entah kalau saya carutkan di mulut, mahunya air kencing saya bergelumang dengan syaitan-syaitan sebab dah bersebati dengan carutan. risau saya. mujur saya berjaya tanggalkan bila masuk ke dalam panggung.
selesai, kami cari kedai hardware. cari peralatan utama nak ikat kotak. esok kami nak pulang ke rumah. peperiksaan akhir semester dah selesai semalam. hari ini berseronok. dan esok diikuti sebulan menjelang, harapnya adalah berseronok 2.0
selesai itu, saya rasa tak sedap. saya rasa saya nak ke jamban sekali lagi. ini hal yang pelik. tadi saya dah selesaikan semua. dan saya tak minum apa-apa lagi selepas itu. tapi saya rasa nak ke jamban sekali lagi. kemaluan saya rasa geli. ini tidak menyenangkan. malangnya, saya tak jumpa jamban yang available. ada pun rosak. jadi saya cuba suppress keinginan saya, macam keinginan-keinginan yang lain, dan lupakan sebentar.
saya dan kekasih lapar. jadi kami cari port makan.
selesai. dan kali ini coca-cola 12oz ditambah. saya segera cari jamban. masuk saja saya dah diberi tanda bahawasanya, jamban penuh. masuk-masuk saya ketuk kubikel. dua kubikel, sebelum saya ditegur oleh mamat di depan saya.
dia adalah rakan sekelas saya dulu yang saya jumpa di tengah Kota. dan di pinggir Kota ini, saya jumpa dia sekali lagi. di dalam jamban. yang siang tadi, ada imej tak enak mengisi kepala saya. saya rasa ini... ini... tak berpijak di bumi real.
dia cina. dan kelas saya, yang majoritinya pandai, dipenuhi oleh cina. dan india. melayu pun ada beberapa. dan saya, disebabkan dididik rasis. tak berapa masuk dengan mereka. lagi-lagi saya memang tak ada skil sosial yang bagus. jadi saya sendirian. tak boleh adapt dengan sekeliling. dia pendiam. duduk jauh di depan. tapi sebab dia cina, automatik dia ada kawan. lagi-lagi dia berbakat melukis. jadi, dalam kalangan budak pandai, ini suatu milestone tak terjangkau. dia dipuja. dan saya, sebagai rasis, dan seorang yang kekok (bukan nerd, nerd itu seisi kelas), terkapai di belakang ruang bilik darjah.
kemudian di dalam ruang sempit itu, saya dan dia, saling bertentangan, terhimpit. tak ada kenangan atau apa-apa. saya tak pasti dia sedar tentang kewujudan saya atau tidak di dalam sejarah hidupnya sendiri. malangnya saya sedar. dan ini mengacaukan. entah apa yang terkocak di dalam diri saya tentang kesedaran saya ini. hingga fikiran saya merewang masuk ke daerah yang hampir tak punya kaitan. imajinasi saya diduga, dan tak ada satu pun yang boleh buatkan saya berdiri dengan tenang di jamban itu.
benih pertanyaan-pertanyaan disemai, lalu tumbuh membesar dalam sekejap, saya sendiri tak sempat bendung dan akhirnya semua layu. proses itu berulang-ulang tak henti, seolah-olah pengembaraan sisyphus. saya cuba distract perhatian saya, tapi semua akhirnya akan kembali tentang kejadian yang tengah saya alami ini. logiknya hampir-hampir tak ada. saya dah jauh dari negeri Johor tapi masih, mereka yang kastanya hanya bekas rakan sekelas, masih saya jumpa. dan lokasinya, di dalam jamban, yang penuh dan memaksa saya, atau sebenarnya kami?, bergelut dengan canggungnya persekitaran.
pertanyaan itu saya bawa sampai ke kubikel. dan sepanjang proses tabi'i saya, fikiran saya masih cepu tentang kejadian sekarang. tentang pertanyaan yang tak berjumpa jawapan. saya sedar tentang apa yang berlaku di persekitaran saya, tapi kesedaran saya enggan ambil tahu. ketika keluar, dia menurut di belakang saya. menunggu saya menggunakan sinki. kemudian, tanpa kata apa-apa, saya tinggalkan jamban itu.
berharap semoga pertanyaan-pertanyaan itu turut terbunuh.
walaupun tidak. tapi akhirnya, perhatian saya terpencar-pencar. saya dan kekasih menuju pulang. kemudian, bila melangkah sedikit laju, sebab kejar waktu, saya rasa ngilu di celah kelangkang. saya paksa dan akhirnya kesakitan. langkah saya terjeda. saya cuba rasionalkan apa yang berlaku tanpa melakukan apa-apa yang cabul. kemudian, saya perasan, yang saya tak sarung semula seluar dalam saya, tadi.
kemudian, seperti hantu yang mati tak pernah sudah. pertanyaan itu menyerang saya macam kejahatan. dan saya, sampai habis titik penamat cerita ini, masih tak percaya dengan tindakan saya sendiri tadi. rasa macam... tidak berpijak di bumi yang real.
No comments:
Post a Comment