Tuesday, 19 February 2013

-675


Saya tak tahu ada apa dengan rahsia sebenarnya. Kenapa rahsia ni terlalu penting untuk dikongsi sesama manusia-manusia lain yang sudah kita kastakan sebagai istimewa – baik kekasih, kawan baik, dan adik beradik (kandung atau terangkat), dan kenapa tindakan menyimpan rahsia tersebut dari manusia-manusia ini semacam satu jenayah. Dan wajib dihukum seberat-beratnya. Dan tidak ada hukuman yang paling berat, selain diseksa perasaan dengan tindakan-tindakan amoral – tidak dilayan untuk satu tempoh masa secara biasanya dilayan dengan niat, sebagai contoh.

Mungkin bila manusia-manusia ini diangkat kastanya, sudah termeterai satu janji, atau kontraksosial yang mengatakan rahsiamu rahsiaku jua. Dan bak peraturan dalam Fight Club, klausa satu sampai tiga, adalah itu dan empat sampai tujuh adalah berkaitan itu – Rahsiamu Rahsiaku Jua. Kegagalan, seperti yang sudah saya sebut, adalah mandatori – seksa rasa sampai bagitahu, atau matikan saja hubungan ini.

Tak kisahlah macam mana atau berapa lama dah hubungan istimewa tersebut berjalan, kalau ada rahsia yang tidak disimpan dan pecah tembelang – hukum mandatori!

Kontraksosial tersebut, klausa ke empat mungkin berbunyi begini – Lebih besar impak rahsia tersebut dalam hidupmu, maka lebih besarlah kepentingannya untuk kau beritahukannya ke aku.

Berulang di klausa ke lima dan ke enam.

Lalu di klausa ke tujuh – Kegagalanmu untuk berkongsikannya denganku atau jika kutahu rahsia itu dari siapa-siapa, walau musuh hidup lalumu, maka hubungan ini masuk kubur tanpa nisan. Sekian.

Saya betul tak tahu, kenapa rahsia terlalu penting untuk kita tahu, dan saya betul tak tahu, kenapa rahsiamu mahu juga saya tahu. Sebagai tanda percayamu sudah kurangkul, atau sebagai timbal balik atas rahsiaku yang kau tahu?

Harap kerana cinta semata-mata.