Saya tak suka Kota KL.
Padahal saya baru beberapa kali pernah singgah menetap kat sana. Paling sekejap 3 hari. Paling lama 30 hari.
Saya tak suka Kota KL.
Saya rasa kota tu kota jahat yang dikelilingi oleh gemerlap-gemerlap hal-hal yang saya suka, acara-acara yang melibatkan kesenian terutamanya. Baca buku tepi tasik, contohnya. Atau melalak bersajak di depan orang-orang asing yang selama ini tersekat di level "bergurau di laman kicau 140 aksara".
Saya tak suka Kota KL.
Tapi sebab kota tersebut diisi dengan acara-acara yang melibatkan kesenian, saya selalu berangan nak pi kota tersebut. Rancangan mengisi masa lapang cuti semester saya, selain menjadi anak dara memerap tubuh di dalam rumah, jumpa kawan-kawan mesti terselit sekali rancangan "Pi Kuala Lumpur."
Saya tak suka Kota KL.
KL kalau hendak diibarat dengan makwe, maka KL adalah makwe yang selalu jadi the Alpha Bitch dalam wayang-wayang Holiwud yang kita suka sekaligus benci dan meluat. Pada yang mencuba jatuh cinta maka banyaklah halangan yang ditimpakan. Dan setakat ni saya tengok ramai juga yang kecundang dalam kalangan kawan-kawan.
Saya tak suka Kota KL.
Mungkin sebab kota tu dah seksa mak saya sampai jatuh demam sepanjang 3 hari dia melawat kota tersebut. Dan siapa-siapa yang buat mak saya sakit, saya benci. Walaupun sekeping kota penyebabnya.
Saya tak suka Kota KL.
Tapi saya rasa saya tetap akan masukkan "Pi Kuala Lumpur" sebagai rancangan mengisi masa lapang cuti semester saya. Dan saya akan layan kota tersebut macam pelancong yang cuma jenguk tempat-tempat cantik dan jauh dari bau-baunya yang jelek. Lepas tu bawak balik cerita ke siapa-siapa yang berminat tentang "Bestnya KL, you!".