Ini cerita tentang seorang jururawat yang telah
hilang semangat untuk hidup gara-gara sudah terlalu lelah melihat kematian
meragut nyawa dan kehidupan orang-orang yang datang kepadanya semata-mata untuk
merasa kembali indahnya hidup sebagai manusia yang tidak ada penyakit sama
sekali.
Jururawat tersebut suka akan buku, dan filem dan
kebanyakan dari duit gajinya dibelanjakan ke dua perkara tersebut. Hatta jika
terpaksa berlapar dan bergadai bergolok nyawa untuk mendapatkan buku dan filem
yang berkualiti pun dia sanggup.
Akan kesanggupan Jururawat bukanlah semata kerana
suka dan cintanya pada dua perkara tersebut, tetapi juga Jururawat percaya
bahawasanya dengan membelanjakan duit gajinya kepada dua perkara tersebut,
Jururawat sedang menyucikan duit gajinya yang tidak seberapa itu dari dosa-dosa
mengecewakan harapan orang-orang yang datang kepadanya semata-mata untuk merasa
kembali indahnya hidup sebagai manusia yang tidak ada penyakit sama kali.