Dia
hendak bikin novel.
Berkat
pengalaman, dia percaya dan yakin bahwasanya novel yang baik harus ada konflik
dan watak yang menarik. Biar aneh-aneh asalkan menarik, barulah pembaca ada
minat hendak habiskan bacaan.
Dan
kali ini dia hendak bikin novel tentang pengembaraan seorang perempuan
mengelilingi empat negeri ditemani dua orang kawan yang tidak pernah dia jumpa.
Fiksyen
harus lebih logik dari realiti, kata Sufian Abas di arus masa.
Tersejat
dengan kata-kata novelis pop ini, dia bentuk satu peraturan baru ; novelnya
harus lebih logik dari realiti.
Jadi
dia buat keputusan untuk rekrut dua orang kawannya di Fesbuk dan Twitter.
Mula-mula dia hendak saja umumkan tentang keinginannya itu di status dan tweet,
tapi bila ditimbang-timbang dia batalkan saja. Bukan apa, tidak semua yang jadi
kawan, atau follow dia itu dia kenal. Takut yang dia rekrut nanti salah orang.
Bahaya. Jadi dia buat keputusan untuk beritahu hasratnya itu di mesej, dan DM
saja, dan hanya kepada orang-orang terpilih – kawan-kawan yang dia kenali.
Ada
sembilan orang semuanya. Ada lelaki dan ada perempuan. Dengan bertindak begini,
dia sebenarnya sedang bertarung dengan kegagalan, kerana nisbahnya untuk
berjaya memujuk orang-orang ini makin kecil. Tapi setidaknya lebih selamat
sebab orang-orang ini dia sudah kenal bertahun.
Seminggu
kemudian, empat orang jawab mahu tapi diiring frasa maaf. Macam-macam alasan
diberi, dan semua dia telan mentah-mentah. Dua minggu kemudian, dua orang kata
tak hendak, dengan alasan yang sama ; parents tak bagi, dan dia redha. Tiga
minggu kemudian, bila dia sudah hendak putus asa dengan perjalanan novelnya
ini, dua orang jawab hendak, diiring frasa maaf sebab lewat.
Sukacitanya
dia sebab dua orang itu pun sudah setuju dengan satu-satunya syarat yang diberi
– belanja sepanjang perjalanan masing-masing tanggung sendiri.
Bukan
apa, aku ni nama saja novelis tapi miskin. Royalti yang syarikat bagi terlampau
ciput, dan belum pula ada yang mahu filemkan tulisan aku itu, katanya
merasionalkan syarat yang dia tetapkan pada kedua-dua orang kawannya.
Nazrin
Zaidi, dan Edy Hamid kata steady.
Dan
perancangan berbulan mereka menjadi. Empat negeri mereka jelajah, dalam ruang
masa yang sudah ditetapkan. Nazrin Zaidi jadi perakam sejarah dengan lensa
kameranya, dan Edy Hamid jadi penglipur lara paling asik. Dia jadi tukang catat
hatta ke atas perkara kecil sekalipun.
Nazrin
Zaidi yang tidak perasan mucus-nya meleleh sepanjang perjalanan di Pulau
Pinang. Atau Edy Hamid yang tersilap sarung selipar bila tinggalkan hotel bajet
di Ipoh. Dan dia yang kantoi menganga mulut meleleh liur bila tertidur di
sebelah crush ekspresnya di atas KTM menuju ke KL Sentral.
Fiksyen
harus lebih logik dari realiti, kata Sufian Abas di arus masa.
Sampai
saja di rumah, buru-buru dia pindahkan segala catatannya yang terkandung emosi
dan memori ke laptop. Esoknya selesai ritual bangun paginya dia sudah bersedia
menarikan jarinya di atas keyboard demi memfiksyenkan realiti yang dia lalui
sepanjang dua minggu lalu.
Dan
dan itu juga dia terkesima.
Protagonisnya
seorang perempuan Muslim fundemental, yang mengembara menjelajah empat buah
negeri ditemani dua orang lelaki yang dia jumpa sepanjang pengembaraannya.
Fiksyen
harus lebih logik dari realiti, kata Sufian Abas di arus masa.
Dan
watak cerita kita ini tak reti bikin cerita yang bercerita dari sudut pandang
seorang perempuan yang melihat dunia dengan timbangan agama yang kuat, yang
tiba-tiba tersangkut kembara sama-sama dengan dua orang lelaki yang bukan
mahramnya.
Gagal
bercerita dengan sudut pandang yang logik, akan baraikan kedua-dua peraturan
menulis novel yang sudah dia tetapkan siang-siang, yaini harus menarik walau
aneh-aneh, dan logik.
Konsepnya
itu aneh, dan menarik, tapi kerana dangkalnya dia berkenaan sudut pandang
seorang perempuan, logiknya nanti pasti tidak mengena. Untuk menceritakan
tentang perjalanannya dengan dua orang kawannya, pastilah bosan. Tidak ada yang
menarik apatahlagi aneh tentang tiga orang lelaki yang mengembara bersama.
Melainkan,
bisik hatinya, dua dari mereka adalah gay.
Dia
hendak bikin novel.
Dan
untuk bikin novel, dia ada peraturannya sendiri. Yaini novelnya harus menarik
walau aneh-aneh, dan logik. Dan kali ini, dia hendak bikin novel tentang tiga
orang lelaki yang mengembara menjelajah empat negeri, di mana dua darinya
adalah closet gay.