Sunday, 24 November 2013

of ügh, cereka

semalam sebingkis surat datang masuk mengetuk peti emelnya. dia kenal pengirimnya. tapi atas sebab itulah dia tak nak buka emel itu. dan atas sebab itu jugalah dia enggan padam saja emel itu. sepatutnya dia dah mula bersiap lima minit lepas. tapi sebab emel itu. dia jadi gundah.

dia tengah telanjang. duduk atas kerusi. jari-jarinya tengah bergilir ketuk meja. emel itu tak ada tajuk. fikirannya betul-betul mengalir kepada emel itu semata. atau mungkin orang di sebalik emel itu. atau mungkin peristiwa di balik kewujudan orang itu. atau mungkin kepada dirinya sendiri.

tiba-tiba dia rasa sejuk gila babi. dia tongkatkan kepalanya. jendela tak bertutup. angin tak segan-segan masuk. kemudian hujan lebat. jam di tangan dia tilik. kalau betul nak pergi kerja, waktu sekarang masih sempat lagi. fikiran dia beralih macam pendulum. sekejap tentang emel. sekejap tentang kerja.

dia dah bagi batas waktu lima minit lagi untuk penyelesaian dicapai. pendulum fikirnya bergerak pantas. segala macam pertimbangan dihulur dan digasak dan ditolak dan diterima. kemudian waktu lima minit itu telah penuh. penyelesaian masih tak ada. tapi, sementara lima minit tadi. entah dia sedar atau tidak. kakinya dah bersarung dengan seluar. bajunya yang dia gosok malam tadi. seakan melambai dia dari dinding. angin rusuh lagi.

cepat-cepat baju itu dia capai. disarung. hendak tak hendak. dia kena pergi kerja. kasutnya yang dia letak di bawah meja dia capai. di kerusi tadi dia kembali duduk. skrin laptop tak padam lagi. dan emel itu masih terpampang. sambil dia tenung emel itu. dia sarung kasutnya.

satu-satu peristiwa di sebalik orang yang menyebabkan wujudnya emel itu. bermain di kepala. kemudian satu lagi batas waktu diberi. siap saja pakai kasut. dia akan pilih untuk padam emel itu. atau tidak. pendulum fikirnya, sekali lagi bergerak.

dan sekali lagi. pertimbangan dihulur. digasak. ditolak. dan diterima. kasutnya dah siap disarung di kaki. dan penyelesaian masih tak dicapai. tapi tetikus dah dia genggam. jarum penunjuk dah ada kat baris emel. tinggal klik sahaja.

dia tak perlu jenguk jam. dia tahu sekarang dah pukul berapa. lagi lima minit masa terbazir dan dia tak perlu pergi kerja langsung. maksudnya sewa rumahnya bulan ini tak akan dibayar. bil-bil tentu terbengkalai. belanja mak dengan bapak terputus. kos pengajian adik-adik entah-entah barai. dia tak fikir apa lagi. tetikus diklik. dia nak baca emel itu. dia baca emel itu. dia dah baca emel itu.

... dan hari itu. dia tak jadi pergi kerja.

No comments: