saya tak reti menghadapi kematian. ianya suatu proses yang awkward. pada saya saja, agaknya. perasaan-perasaan yang mengitari sebuah kematian selalu menjadikan ada benda di dalam dada yang rasanya tak selesai. membentak-bentak ingin keluar, walau tak ketahuan apa bendanya.
kematian memang awkward. kekok. mengundang kaku. rasa macam harus duduk di suatu tempat dan berfikir tentangnya, walaupun yang terpacul di kepala tak dapat dikenal pasti apa. yang ada cuma mungkin kata-kata kosong. seperti ini. kerana ianya harus dilepaskan.
mungkin selain awkward, kekok itu, ada perasaan paling kuat sedang mendekam dada - kesedihan bahawa harapan yang ditunda-tunda itu tak dapat lagi dipenuhi. penyesalan membuak-buak, masa yang selama ini dilihat begitu saujana terasa seperti menyempitkan - klaustrofobik. lalu lahirlah doa-doa. tuhan, akhirnya jadi kaunselor nombor satu.
dan entah kenapa setelah semua itu, saya rasa mata saya begitu panas, di hari yang memberikan redup cahaya matari ini.
No comments:
Post a Comment