Thursday, 16 May 2013

1;35i

SURYA. Sebuah kerja lama untuk Zine 100, tapi dirombak sendiri sebab tuntutan teknikaliti oleh editor.

“Surya satu,” katanya ringkas, sambil kepalanya diangkat sedikit sebagai ganti jemarinya yang sedang tergagau mengais not-not wang dari koceknya, untuk menunjuk ke arah barisan kotak-kotak rokok yang terbaris satu-satu di dalam para di balik cermin toko francais 7 – E ini. Fizikalnya sekarang ini, pada pandangan mata kasarnya aku, serabut. Rambut terurai, hura-hara mencari ruang-ruang sana sini pada wajahnya yang masih boleh dilitupi. Bajunya sudah kelam dek daki, barangkali, atau setidaknya kotoran, seperti debu, atau apa-apa saja jenis kotoran yang, mampu menghilangkan warna muasal baju yang sedang disarungnya – putih, kepada hitam keabuan seperti itu. Mujur saja yang disarung pada kakinya adalah jeans, maka apa saja kekotoran yang sudah menempel pada seluar yang asalannya adalah untuk para pelombong California itu, tidak kelihatan oleh mata kasar. Kakinya cuma disalut oleh selipar, itupun  berlainan warna – entahkan kerana fesyen, atau memang dia buru-buru keluar hingga hal itu tak disedarinya. Aku tak peduli ‘dikit pun. Cumanya ada sesuatu pada dia yang bikin aku tak senang. Mencucuk hati aku. Entah apa sebenarnya, aku sendiri tak tahu.

Jumlah wang yang dia beri tepat-tepat. Lengkap dengan sennya sekali. Berdenting meja cashier menerima taburan wang syilingnya. Selesai dia taburkan sejumlah syiling, dan sehelai not wang RM 1 yang ronyok, untuk membayar sekotak rokok yang dia pesan tadi, dan sebungkus roti perisa ikan bilis, dia cabut lari. Masalahnya, ketika itu, aku masih kalut mengira satu-satu syiling itu semua, dan aku bertambah kalut – takut kalau-kalau dia menipu, aku tak sanggup lagi tanggung short bila nak closing nanti. Mujurlah jumlahnya cukup.

Ding Dong!

Sedang aku bermain-main dengan bunyi denting syiling pelanggan tadi pada mesin wang, seorang pelanggan lagi datang, terburu-buru. Kepala botak, perut boroi, pakai baju tee CRUSH, sarung seluar senteng, berpeluh-peluh. “Adik ada nampak orang rambut panjang, tinggi macam ‘gini – dia paraskan tangannya 2 cm melebihi aku – pakai baju tee hitam abu, ‘ngan seluar jeans rabak,” tanyanya mengah, “... and selipar lain color?” pintas aku. Matanya buntang, kepalanya angguk bukan main laju, “Ha, dialah!” ada senyum tergaris pada bibirnya serentak itu. “Ada ‘bang, baru je blah tadi,” aku buang pandang keluar, dia ikut sama, dan kata, “Arah mana ‘dik?” Aku halakan telunjuknya aku ke sebelah kanan kedai, yang tanpa aku lihat pun sudah aku tahu, ada lorong yang menghala ke kedai buku Novel Hut, dan di seberang lorong itu, ada bangunan lain. Belum sempat dia blah sama, seorang pelanggan yang ‘duk taat mendengar perbualan aku dengan dia, tanya dulu, “Kenapa ‘bro?” Dia toleh ke aku sambil melangkah ke arah pintu, “Dia rembat wallet aku.”

Ding Dong!

Aku nampak dia lari bukan main laju ke arah yang aku sebut tadi. Dan pelanggan penyibuk tadi sengih-sengih entah kenapa bila suruh aku kira sebotol Pepsi Twistnya dan roti perisa ikan bilis.
Closing. Semangat. Nak balik. Internet. Blog. Facebook. Tidur. Rehat dari kerja haramjadah ni. Closing!

 5 minit tempoh reminiscene di atas tilam. Aku pejam mata. Lengan kanan di atas dahi. Tak baik, kata abah dulu buat macam tu. Macam orang putus asa jawabnya bila aku tanya kenapa. Teringatkan aku abah, aku senyum saja. Surya aku sedut hembus sedut hembus bila ingat abah. Matinya tragis betul. Bibir tergaris. Pipi basah. Aku tidur. Surya dimatikan.

Hari mula lagi. Hari lousy tak berarah. Surya disedut panjang. Kelabunya asap imitasi bentuk O lalu menghilang disedut udara kotor kilang, dan kendara. Hari mula lagi. Aku harus segera blend in. Tilam ditinggalkan. Sanctuarynya aku ini ditinggalkan. Untuk ke neraka ini.

Di dalam bas yang sudah macam sardin, tv paparkan berita. Tentang seseorang yang mati dibom oleh peledak C4. Muasalnya, Mongolia. Tertuduhnya, woah, aku cuma tersengih, profil tinggi begini – pasti tidak bersalah di hujung nanti. Malaysia, siapa tidak kenal. Gambar seseorang itu, dipaparkan. Biasa saja, aku hilang minat.

Ding!

Aku sudah sampai destinasi. Turun segera. Sampai sebelum syif bermula. Tv di toko paparkan terus berita itu, kali  ini oleh stesen berlainan, edisi berita berbeza, isinya sama. Gambar seseorang itu penuhi skrin tv. Kali kedua aku  lihat, baru aku perasan, ada sesuatu tentangnya yang bikin aku tak senang. Perasaan sama yang aku rasa bila pelanggan pencuri aku yang 2 minggu lalu itu datang. Aku teliti lagi gambar itu. Mataku belalak. Orang yang sama! Aku perhatikan lagi tarikhnya. Jantungnya aku degup kencang. Dia dikenalpasti dibomburaikan, betul-betul sehari selepas dia beli Surya dan roti ikan bilis itu di toko ini. Harinya aku kucar-kacir. Ditegur pengurus.

5 minit reminiscence. Aku pejam mata. Lengan kanan di atas dahi. Surya disedut hembus berkali-kali. Abah kata, merokok ‘ni boleh telanjangkan kita. Kalau dah ‘duk sedut hembus tak henti ‘tu, maksudnya ada masalahlah tu. Hati tak senang. Maka rokok jadi eskapisme. Aku sengih ke abah bila dia kata begitu, sebab ketika dia katakan hal itu, dia sedang sedut hembus sedut hembus Surya itu, berkali-kali tanpa henti. Pelanggan itu ‘pun sama. Lepas saja dia dapat kotak Surya itu. Terus saja plastik pembalut dirabakkan. Punggung kotak rokok itu dihentak-hentak pada kekura. Lalu dikeluarkan. Sempat lagi minta api dari aku. Bukan main laju dia sedut hembus sedut hembus Surya itu. Mata pula asyik meliar ke kiri kanan. Pandangan pun ditundukkan. Sengaja. Bukan didorong malu, pastinya. Dia ketakutan. Patutlah selepas mamat yang dicuri dompetnya itu datang, ada orang datang lagi beri deskripsinya ke aku. Kasar. Pasti dia ditangkap. Lalu terima nasib bukan main buruk sebegitu. Macam abah juga. Cuma abah letakkan nasibnya sendiri jadi begitu. Peluru tabur itu menembusi kepalanya disebabkan tindakannya sendiri. Abah, abah. Kepala digeleng. Bibir tergaris. Pipi basah. Tidak dapat tidur.

Perasaan yang aku rasa bila pelanggan itu datang, aku rasakan sekali saja, ketika bersama abah.

Pipi basah. Surya dibaringkan pada asbak. Hujung yang terbakar kasi asap kelabu pada bilik gelap. Aku tidur. Mesti tidur. Neraka sedang tunggu untuk aku datang lagi.

Ding Dong!

No comments: